Sunday, 1 May 2011

SISTEM WANG


BAB III
 
SISTEM WANG KOMODITI: DINAR EMAS
 
3.1       Pendahuluan

Wang ditakrifkan sebagai apa jua medium pertukaran yang diterima oleh umum (Thirkettle 1979). Greenspan (1966) pula mendifinasikan wang sebagai the common denominator bagi semua transaksi ekonomi. Oleh kerana wang ialah medium pertukaran yang digunakan oleh kesemua peserta ekonomi sebagai pembayaran untuk barangan dan perkhidmatan; maka ianya dapat berfungsi sebagai piawaian nilai pasaran (standard of market value) serta penyimpan nilai atau alat tabungan. Wang dikatakan sebagai pra-syarat untuk ekonomi pembahagian buruh  (division of labor economy) yang membuka jalan untuk meraih kelebihan pengkhususan (specialization).[1]

Dewett & Varma (1990) menyenaraikan fungsi wang sebagai medium pertukaran, penyimpan nilai, piawaian mengukur nilai dan alat pembayaran tertunda. Wang memberi manfaat besar kepada kedua-dua pengeluar dan  pengguna kerana ianya mengatasi masalah sistem barter; seperti keperluan memenuhi kehendak serentak (double coincidence of wants), kesukaran membuat penilaian serta pembahagian dalam unit-unit yang kecil.

Cook (1995) di dalam The Great Gold Comeback menegaskan bahawa emas adalah komoditi yang paling menonjol di antara kesemua komoditi yang digunakan sebagai wang. Beliau berpendapat kemakmuran dan kemajuan berkembang pesat apabila emas dijadikan alat monetari. Ini disebabkan oleh kestabilan intrinsik emas. Emas juga mempunyai kelebihan berbanding komoditi lain kerana mempunyai kedua-dua kegunaan artistik dan fungsi. Ini ditambah pula dengan kuantiti emas yang relatifnya payah ditemui (Greenspan 1966).

Bab ini akan membincangkan sejarah perkembangan wang komoditi terutamanya yang berkait dengan emas dan perak. Seterusnya dinar emas dijadikan kajian kes. Mekanisme dinar emas yang dicadangkan oleh Malaysia juga diperihal.

3.2       Sejarah Dan Perkembangan Wang Komoditi

Di sepanjang sejarah manusia terdapat pelbagai komoditi yang digunakan sebagai wang. Komoditi di atas termasuklah binatang ternak, bijirin, manik-manik, cengkerang, rokok, tembaga, perak dan emas. Penggunaan wang komoditi seperti barli telah direkodkan sewaktu tamadun Mesopotamia kira-kira 4,500 tahun dahulu. Manakala wang berbentuk syiling emas diketahui bermula di Lydia, Asia Minor semenjak abad ketujuh Sebelum Masihi (Meyer 2001). 


Gambar 3.1: Mata wang Lydia sekitar abad ketujuh Sebelum Masihi

Wang antarabangsa ialah  wang yang beredar untuk kegunaan transaksi melangkaui sempadan nasional. Wang antarabangsa  yang  pertama ialah drachma perak yang ditempa di Athens pada abad kelima Sebelum Masihi (Chown 1994). Dengan malapnya pengaruh Greek dan kebangkitan Empayar Rom, wang Romawi iaitu aureus emas dan denarius perak menjadi pengganti drachma. Pengaruh luas aureus dan denarius sebagai wang antarabangsa berkait rapat dengan mutu kandungan emas dan perak masing-masing.


Gambar 3.2:   Denarius perak

Penurunan mutu (debasement) aureus dan denarius oleh Maharaja-maharaja Rom yang bermula semenjak Maharaja Nero (54-68 Masihi) hinggalah abad keempat Masihi, memaksa Maharaja Constantine (306-337 Masihi) memperkenalkan mata wang baru yang dikenali sebagai solidus emas (dipanggil nomisma oleh orang Greek dan bezant oleh penduduk Eropah Barat).


Gambar 3.2:   Solidus Constantinus sekitar 400  Masihi

Solidus diterima secara meluas dan dapat ditemui dari England hinggalah ke India. Solidus ditempa di Byzantium hinggalah abad ketiga belas. Lopez (1951) menggunakan istilah “dollar of the middle ages” untuk memperihalkan betapa luasnya pengaruh solidus.  Walau bagaimanapun solidus bukanlah satu-satunya wang antarabangsa sewaktu zamannya.  Dinar emas memecahkan monopoli solidus sebagai mata wang antarabangsa mulai abad ketujuh masehi (Dwyer & Lothian 2002). Dinar emas mula ditempa di Syria oleh Khalifah Abdul Malik ibnu Marwan (685-705 Masihi). Dinar emas berspesifikasi sama turut ditempa di seluruh pelusuk dunia Islam.


Gambar 3.4: Dinar emas Bani Umayyah sekitar 703 Masihi/ 123Hijrah.

Pertengahan abad ketiga belas menyaksikan Revolusi Komersial Eropah yang memperkenalkan dua mata wang emas antarabangsa yang menggantikan solidus, iaitu genoin yang ditempa di Genoa dan fiorino (atau florin) dari Florence. Peralihan kuasa perdagangan menyebabkan pengaruh genoin dan florino diambil alih oleh ducato dari Venice pada abad keempat belas.

Cipolla (1967) yang mengkaji perkembangan monetari dari abad kelima hingga tujuh belas menyenaraikan tiga ciri  persamaan pelbagai wang antarabangsa. Pertama, mempunyai nilai kesatuan yang tinggi (high unitary value). Ini bermakna wang-wang tersebut mudah dibahagikan kepada unit-unit yang kecil. Kedua, mempunyai kestabilan intrinsik. Ini merujuk kepada spesifikasi kandungan dan ketulenan emas yang tetap.[2] Beliau mendapati apabila debasement berlaku, mata wang itu terhenti menjadi wang antarabangsa yang dominan. Ketiga, dikeluarkan oleh gergasi ekonomi yang aktif dalam perdagangan antarabangsa. Cipolla mendapati bahawa solidus, dinar, genoin, fiorino, ducato dan kesemua wang antarabangsa diadopsi (adopted). Tidak ada satu pun wang-wang  di atas direka untuk dijadikan wang antarabangsa. Kesemuanya mengalami evolusi sehinggalah diterima pakai melangkaui sempadan nasional masing-masing. Berbeza dengan sistem wang fiat kini; semua wang komoditi tersebut mencapai status wang antarabangsa tanpa paksaan undang-undang, tanpa campurtangan organisasi monetari antarabangsa dan tanpa ugutan ahli-ahli politik (Dwyer & Lothian 2002). Dengan kata lain, kesemua mata wang tersebut mencapai status tinggi disebab keutamaan ekonomi bukan melalui perancangan sistematik politik.   

Pada abad keenam belas pusat perdagangan antarabangsa beralih daripada negara-negara kota (city- states) Itali kepada Republik Belanda. Amsterdam menjadi pusat kewangan utama kerana Belanda pada waktu itu merupakan kuasa ekonomi dan maritim terunggul di Eropah.  Di penghujung abad keenam belas terdapat lebih 800 syiling asing yang diterima untuk transaksi di Belanda (Dehing & ‘t Hart 1997). Dari pelbagai syiling yang ada, guilder perak muncul sebagai mata wang utama.


Gambar 3.5:   1 guilder perak sekitar tahun 1795


Terdapat perbezaan di antara guilder dan mata wang antarabangsa sebelumnya iaitu guider menpunyai dua versi. Versi pertama ialah guilder perak yang beredar sebagai medium pertukaran.  Versi kedua ialah guilder banco yang merupakan masukan deposit (deposit entries) di dalam buku kira-kira Bank of Amsterdam. Guilder banco adalah wang bank yang bersandarkan perak. Pada tahun 1638 hingga 1775, kadar tukaran di antara keduanya ialah 104.1 guilder perak bagi setiap 100 guilder banco. 

Di akhir abad ketujuh belas pertumbuhan ekonomi Belanda menurun dengan ketara sedangkan pertumbuhan ekonomi England memecut (Israel 1995). Pada penghujung abad kelapan belas, England telah memintas Belanda sebagai kuasa ekonomi dan maritim. Sehubungan dengan itu pound atau pound sterling yang merupakan unit monetari England menjadi wang antarabangsa. Oleh sebab kedudukan England sebagai kuasa ekonomi dan kewangan dunia, pound telah menjadi mata wang rizab banyak negara. Zon Sterling ialah istilah yang diberi kepada negara-negara bekas jajahan Empayar British atau negara-negara Komanwel yang mempunyai rizab mata wang antarabangsa dalam pound.


Gambar 3.6:   1 pound sekitar 1922


Pound ialah wang representatif yang dapat disaling tukar dengan perak sehingga tahun 1717 di mana ianya disaling tukar dengan emas.[3] Tambatan pound dengan piawaian emas sering berubah-ubah. Pada 1797 kerajaan England meninggalkan piawaian emas tetapi kembali semula pada 1816. Piawaian emas ditinggalkan lagi semasa Perang Dunia Pertama tetapi dipakai kembali pada 1925 dan ditinggalkan lagi pada 1931. Pound dipancang kepada emas semasa Sistem Bretton Woods. Kini pound terapung dan nilainya tertakluk kepada permintaan dan penawaran di pasaran pertukaran asing.

Amerika Syarikat muncul sebagai kuasa ekonomi terbesar apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mengatasi England pada akhir abad kesembilan belas. Perang Dunia Pertama (1914-1918) yang berlaku di Eropah mengakibatkan pedagang dan pelabur mencari perlindungan di benua Amerika. Ini menyebabkan aliran keluar emas dari Eropah masuk ke Amerika. New York mendapat manfaat sebagai pusat kewangan dunia di atas kemalapan London. Sehubungan dengan itu, peranan pound mula diganti oleh dolar Amerika.


Gambar 3.7:   1 dolar Amerika sekitar 1928. Wang ini dapat disalingtukar dengan emas. Perhatikan perkataan "Will Pay to the Bearer on Demand” yang terdapat dalam wang di atas, tidak ada di dalam wang dolar masa kini.

Dolar Amerika telah dipilih sebagai mata wang rizab rasmi dalam sistem pertukaran tetap yang dirangka di Persidangan Bretton Woods 1944.[4] Secara tradisinya emas merupakan mata wang rizab bank-bank pusat. Mata wang rizab ditakrif sebagai mata wang asing yang disimpan oleh bank-bank pusat atau mana-mana autoriti monetari untuk tujuan exchange intervention dan penyelesaian pembayaran antara kerajaan-kerajaan.

Selepas Perang Dunia Kedua, dolar bukan sahaja menjadi wang antarabangsa tetapi menjadi mata wang domestik bagi negara selain Amerika Syarikat seperti El Salvador, Equador dan Panama.[5] Kaitan antara dolar yang bersandarkan komoditi terputus hasil tekanan inflasi akibat polisi monetari Amerika pada tahun 1971 (Dwyer & Lothian 2002). Pada masa ini tiada satu pun wang antarabangsa seperti dolar, euro[6] dan yen yang disandar sepenuhnya dengan komoditi.


Gambar 3.8:   1 dolar Amerika sekitar 1995.


3.3       Dinar Emas

Dinar emas ialah wang komoditi yang beroperasi dalam kerangka piawaian emas (Ahamed Kameel 2002). Imam Malik di dalam Kitab Al-Muwatta menjelaskan bahawa wang ialah apa-apa komoditi yang lazimnya diterima pakai sebagai bahan pertukaran. Menurut syariat Islam, tiada komoditi yang boleh dipaksakan menjadi wang kerana manusia bebas menggunakan apa sahaja komoditi sebagai tukaran.


Gambar 3.9:   1 dinar (kiri) & 1 dirham (kanan) sekitar 1992

Perkataan dinar berasal dari denarius, iaitu mata wang Romawi yang beredar sebelum kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Sebelum kedatangan baginda terdapat pelbagai syiling emas dan perak di Semenanjung Arab yang berasal dari Empayar Rom, Byzantin dan Sasanid. Sewaktu hayat Nabi Muhammad s.a.w, syiling emas yang diimport dari Empayar Byzantium digunakan untuk transaksi seiring dengan syiling perak dari Empayar Sasanid. Setelah kewafatan baginda pada 632 Masihi, syiling-syiling tersebut terus digunakan oleh Khalifah Abu Bakar sehinggalah ke zaman Khalifah Abdul Malik ibnu Marwan.

Perselisihan dengan Maharaja Byzantium menyebabkan Khalifah Abdul Malik memerintahkan dinar emas dan dirham perak ditempa dengan rekabentuk baru pada 695 Masihi. Walaupun rekabentuknya baru, spesifikasi dinar dan dirham masih dikekalkan seperti amalan Nabi s.a.w ( Nik Norzul 2003). Setiap dinar mestilah ada 4.25 gram emas dan setiap dirham mengandungi 3 gram perak. Ketulenan emasnya ialah 22 carat atau 91.6% emas (Hakimi 1999). Menurut Vadillo (1996) spesifikasi dinar ditetapkan dengan piawaian 4.25 gram emas adalah berdasarkan purata berat mata wang Byzantium iaitu solidus. Piawaian menurut berat tersebut dikenali sebagai Piawaian Khalifah Umar Al-Khattab. Piawaian ini menetapkan hubungan dinar-dirham sebagai berat 7 dinar bersamaan dengan berat 10 dirham.

Sejarah Islam menunjukkan bahawa dinar dan dirham telah digunakan sehinggalah berakhirnya Kerajaan Islam Turki (Hakimi 1999). Setelah tamatnya Kerajaan Islam Turki tersebut, istilah dinar dan dirham mula digunakan untuk memperihal mata wang fiat negara-negara Islam. Sebagai contoh, dinar adalah nama mata wang rasmi bagi Algeria, Bahrain, Iraq, Jordan, Kuwait, Libya, Sudan dan Tunisia. Manakala dirham digunakan sebagai nama mata wang rasmi Maghribi dan United Arab Emirates. Dinar kembali ditempa pada zaman kontemporari pada 1992 (Vadillo 1996). Ianya digunakan dalam edaran komersial di Sepanyol, Scotland, Jerman dan Afrika Selatan.[7] Di Malaysia, syiling dinar emas yang ditempa oleh The Royal Mint of Malaysia baru saja diperkenalkan pada 28 Julai 2003.[8]

Dinar dan dirham adalah sebahagian daripada Islam.[9] Hukum Syariah meletakkan peranan penting dinar dan dirham dalam sistem monetari. Hukum-hukum Syariah yang melibatkan dinar dan dirham terdapat dengan jelas seperti jumlah minima yang dikira sebagai kecurian, bayaran diyah, zakat dan  ehwal perniagaan (Mahmood 2002).[10] Dinar dan dirham berkait dengan Rukun Islam yang ketiga kerana syariat zakat terkandung di dalamnya (Hakimi 1999). Vadillo (2002) menyatakan bahawa Shaykh Muhammad 'Illish (1802-1881) seorang pakar pengajian fikah di Universiti Al-Azhar telah menyebut di dalam fatwa beliau bahawa wang kertas tidak boleh dizakatkan sebagaimana wang emas dan wang perak kerana ia dianggap sebagai fulus atau loose change.

            Wang kertas tidak boleh dizakatkan kerana ianya bukan komoditi. Jika hendak dizakat juga, wang kertas mestilah ditimbang menurut berat bukan menurut nilai nominal yang tertulis di atasnya. Dengan kata lain, untuk seorang Muslim mengeluarkan zakat harta, dinar dan dirham perlu berada dalam edaran secara fizikal; bukannya berzakat berdasarkan wang kertas yang merupakan derivative dinar dan dirham.

Dalam Islam mata wang sememangnya berkait rapat dengan kerajaan. Kajian Vadillo (1996) juga menunjukkan bahawa Al-Qurtubi dalam Tafsir Al-Quran beliau telah memberi tafsiran tentang ayat al-Quran yang bermaksud:
"Wahai orang yang beriman! Patuhlah kepada Allah dan patuhlah kepada Pesuruh Allah dan mereka yang memerintah kamu."  (An-Nisa (3):59)

Ayat tersebut merupakan perintah supaya umat Islam taat kepada pemerintah dalam tujuh perkara. Perkara pertama ialah penempaan dinar dan dirham dan yang lainnya ialah penetapan berat dan ukuran, keputusan mahkamah, haji, Jumu'ah, dua Hari Raya dan Jihad. Dalam kata lain, urusan dinar ialah urusan keagamaan dan kedaulatan daulah Islam. Penggunaan dinar melambangkan kepatuhan kepada perintah Allah, bukan semata-mata urusan ekonomi (Hakimi 1999).

3.4       Cadangan Malaysia: Penggunaan Dinar Emas

"Selagi kita tidak memulakan langkah untuk merubah sistem kewangan antarabangsa yang sedia ada, selagi itulah kita akan terdedah kepada terorisme ekonomi."
- Tan Sri Nor Mohamed Yakcob (2002)

Pada asasnya terdapat dua sistem monetari antarabangsa iaitu sistem piawai emas dan sistem wang fiat. Terdapat pelbagai variasi sistem piawai wang emas yang diguna dalam perdagangan antarabangsa sehinggalah wang fiat menjadi dominan semenjak awal 1970-an. Semenjak 1973 sistem monetari antarabangsa beroperasi berdasarkan sistem wang fiat dengan kadar pertukaran terapung. Pergerakan turun naik mata wang menggalakkan aktiviti spekulatif yang mampu menjahanamkan nilai mata wang domestik negara. Menurut Dr. Mahathir mata wang tidak boleh dijual beli kerana ianya tiada nilai intrinsik.[11] Beliau menyifatkan dagangan mata wang sebagai “trading in nothing”. Mata wang fiat hanyalah wang kertas yang sah diperlakukan apabila kerajaan membuat periystiharaan tentang nilainya. Jika wang sekarang tiada nilai intrinsik, maka tentulah aneh jika ianya diperdagangkan  seperti suatu komoditi.

Malaysia mencadangkan penggunaan dinar emas sebagai mekanisme untuk memudahkan dan mempertingkatkan hubungan dagang di antara negara-negara Islam. Ia juga menawarkan alternatif untuk keluar daripada sistem monetari yang tidak stabil dan tidak saksama dengan memancang urusan kewangan dengan medium yang terhad (finite), stabil dan tahan lama iaitu emas (Nor Mohamed 2002).

Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pada 19 Ogos 2002 telah memperkenalkan konsep dinar emas dalam menyelesaikan urusan perdagangan di antara negara melalui sistem Peraturan Pembayaran Dua Hala atau Bilateral Payment Agreement (BPA). BPA diharap dapat dimajukan menjadi Peraturan Pembayaran Pelbagai Hala atau Multilateral Payments Agreement (MPA). Menurut beliau dengan penerimaan dinar emas sebagai wang sejagat akan menggalakkan kebebasan berdagang antara negara tanpa perlu terikat kepada mekanisme keperluan rizab antarabangsa seperti dolar. Beliau seterusnya menjelaskan, Malaysia sudah bersedia melaksanakan dinar emas dan akan mempromosi serta menjadi peneraju pelaksanaan mekanisme berkenaan. Mekanisme ini dinamakan Gold Dinar Proposal atau Cadangan Dinar Emas.
Menurut usul Tan Sri Nor Mohamed, dinar emas tidak akan menggantikan mata wang domestik. Dengan kata lain, dinar emas bukanlah wang sah dan kerajaan tidak akan mewujudkannya dalam bentuk fizikal seperti syiling emas. Penggunaan dinar emas terbatas di antara bank-bank pusat negara-negara yang terlibat dengan BPA. Walaupun dinar emas tidak wujud dalam bentuk fizikal tetapi nilai unitnya dirujuk kepada harga emas pada kadar semasa. Sebagai contoh, katalah seunit dinar emas dirujuk kepada satu auns emas. Jika harga pasaran satu auns emas ialah AS$300, maka nilai seunit dinar ialah AS$300. Seunit dinar emas kemudiannya boleh dibanding dengan nilai mata wang lain seperti euro, pound dan yen pada kadar pertukaran asing semasa.

Penjelasan dagangan (actual settlement for trade) boleh berbentuk pindahan emas yang setara nilainya. Ini tidak bermakna emas akan berpindah secara fizikal dari satu negara ke negara lain, tetapi cuma melibatkan pertukaran hak milik di dalam akaun penjaga emas (gold custodian’s account). Jika pindahan emas tidak dapat dilakukan, pembayaran boleh dibuat menggunakan mata wang fiat yang dipersetujui bersama.

Berikut adalah contoh mekanisme BPA:
§  Dua negara misalnya Malaysia dan Arab Saudi menandatangi perjanjian pembayaran dua hala dan imbangan dagangan akan dilangsaikan setiap tiga bulan.
§  Urusan dagang akan disebut (denominated) dalam dinar emas.
§  Nilai dinar emas akan ditetapkan, katalah satu dinar bersamaan satu auns emas.
§  Para pengeksport dari Malaysia dibayar dalam ringgit oleh Bank Negara Malaysia pada tarikh matang (due date) eksport, berdasarkan kadar tukaran ringgit/dinar emas semasa. Begitu juga sebaliknya, pengimport pula akan membayar kepada Bank Negara dalam ringgit jumlah import mereka.
§  Bank Pusat Arab Saudi melakukan perkara yang sama untuk import dan eksportnya.
§  Katalah, pada hujung kitar 3 bulan berakhir 31 Mac, jumlah eksport Malaysia ke Arab Saudi ialah 2 juta dinar emas manakala jumlah eksport Arab Saudi ke Malaysia ialah 1.8 juta dinar emas.
§  Maka untuk kitar 3 bulan tersebut, Bank Pusat Arab Saudi akan membayar 0.2 juta dinar emas kepada Bank Negara. Penjelasan dagangan boleh berbentuk pindahan 0.2 juta auns emas daripada akaun Bank Pusat Arab Saudi di dalam bank penjaga (custodian), katalah Bank of England di London, kepada akaun Bank Negara.

Menurut Nor Mohamed (2002) apa yang penting di dalam mekanisme ini ialah bagaimana secara relatifnya amaun sekecil 0.2 juta dinar emas mampu menampung jumlah keseluruhan dagangan bernilai 3.8 juta dinar emas. Dengan kata lain, penggunaan tukaran wang asing dapat dioptimakan. Mekanisme ini membolehkan negara-negara kecil yang tidak mempunyai amaun rizab tukaran asing yang besar untuk turut serta secara signifikan dalam perdagangan antarabangsa.

Ahamed Kameel (2004) berpendapat mekanisme BPA ini dapat mengurangkan dengan ketara (jika tidak menghapuskan terus), risiko tukaran wang asing. Beliau menambah, dinar emas dalam BPA bertindak sebagai unit akaun yang menghapuskan masalah yang bersabit dengan sistem barter. Bab seterusnya akan membincangkan halangan-halangan untuk wang komoditi seperti dinar emas untuk berdaya maju.

........................

[1] Alan Greenspan ialah pengerusi Federal Reserve Board Amerika semenjak 11 Ogos 1987 hingga kini.

[2] Solidus mengandungi 4.5 gram emas, manakala satu dinar bersamaan 4.25 gram emas. Genoin, fiorino dan ducato mengandungi 3.5 gram emas.

[3] Sterling berasal dari Anglo-Saxon Britain pada abad kelapan. Unit asas monetarinya ialah sterling yang  bersamaan 1/240 pound perak.

[4] Pada waktu ini (1944-1971) dolar disandarkan kepada emas dengan kadar AS$35 bagi satu auns emas.

[5] Fenomena ini dikenali sebagai dollarization.

[6] Euro ialah unit monetari European Union (EU). Mulai 1 Januari 2002, wang euro dalam bentuk syiling dan kertas berada dalam edaran di 12 daripada 15 anggota EU iaitu Austria, Belgium, Finland, Germany, Greece, Itali, Ireland, Luxembourg, Belanda, Perancis, Portugal dan Sepanyol. Euro disandar oleh 20% emas dan menggantikan semua mata wang domestik negara-negara di atas sebagai satu-satunya wang sah bermula 2 Februari 2002.

[7] Transaksi komersial dinar emas terhad  kepada sebahagian komuniti Islam. Dinar emas di atas adalah  sejenis “private money” atau wang persendirian kerana ianya bukan wang sah negara-negara berkenaan.

[8] Dinar emas keluaran Royal Mint lebih bersifat koleksi numismatik. Ianya tidak digunakan sebagai medium perantaraan transaksi komersial.

[9] Perkataan dinar dan dirham disebut didalam Al-Quran pada Surah Imran (3):75 yang bermaksud “Dan di antara Ahli Kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, ia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepadamu, dan ada pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan sedinar pun, ia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau engkau selalu menuntutnya. Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: "Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi", dan mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).”; dan Surah Yusuf (12):20 yang berbunyi “Dan (setelah berlaku perundingan) mereka menjualnya dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham sahaja bilangannya dan mereka adalah orang-orang yang tidak menghargainya.”

[10] Terdapat hadith yang menerangkan bahawa nisab atau ukuran zakat dinar emas ialah ½ keping bagi setiap 20 keping yang cukup  haulnya; manakala hudud dijalankan dalam kes kecurian yang nilainya melebihi ¼  dinar.

[11] Stable ringgit seen as key to recovery. 2/9/1998 Wawancara dengan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.  http://straitstimes.asia1.com.sg/klc/klc7_0902.html

Tuesday, 8 March 2011

10 SEBAB MENGAPA ANDA PERLU MENUKAR WANG KERTAS KEPADA EMAS.

Selamatkan Nilai Harta Anda Daripada Inflasi.

Fakta kenaikan harga emas tanpa INFLASI …Purata 15%Tahun: 2001, 2002, 2003, 2004, 2005, 2006, 2007, 2008
% naik: 2.80%, 9.50%, 17.7%, 10.2%, 20.0%, 3.40%, 26.7%, 12.9% 
10 SEBAB MENGAPA ANDA PERLU MENUKAR WANG KERTAS KEPADA EMAS.

1. Tiada susut nilai dan inflasi.
Zaman nabi kita s.a.w kambing sedinar seekor, zaman sekarang pun masih sedinar seekor. Sedinar sekarang RM570 lebih kurang 1 dinar=4.25g
Setiap hari susut nilai. Satu ketika dahulu, duit Indonesia tidaklah seperti sekarang di mana 100000 rupiah=RM35, dulu mahal lagi. 
2. Bernilai kerana ia logam.
Duit kertas dipernilai kerana ia kertas yang dicop sahaja. Jika anda bank Negara (ada kuasa) anda pun boleh cop.
3. Laku dan diterima di seluruh dunia pada setiap masa.
Orang kemboja yang hijrah ke Malaysia kini kaya raya di kelantan menggadaikan emas mereka untuk dijadikan modal meniaga batik. Bayangkan kalau mereka bawa duit kertas negara mereka pada ketika itu, nescaya tak laku kerana negara mereka pada ketika itu kacau bilau.
Laku waktu aman je..contoh depan mata ialah Iraq, selepas kejatuhan Saddam, wang kertas terus tidak bernilai. 
4. Pelaburan paling terjamin dan menguntungkan.
Kos nak pergi haji tahun 2006 ialah 68 dinar tapi tahun 2009 hanya perlu 30 dinar sahaja. Jadi anda tak perlu tambah duit dan dapat pergi haji lebih ramai.
Kalau anda menabung bentuk duit, nescaya anda perlu tambah lagi wang anda walhal anda nak pergi seorang je. 
5. Pemimpin negara kita adalah penyimpan dinar.
Mereka tahu tentang tipudaya wang kertas ini.
Disimpan oleh rakyat. Beratur di bank sebulan sekali nak simpan duit 100 200. Jangan malukan diri anda lagi. 
6. Negara China adalah penyimpan emas terbanyak dunia.
Untung bisnes semua beli emas. China memang kuasa besar dunia tak lama lagi kerana mempunyai emas.
Amerika negara pencetak wang kertas terbanyak dunia tanpa sandaran emas. Hanya cetak dan beli minyak dari Arab,beli alat pertahanan tapi sekarang, semua sudah tahu tembelang Amerika, cetak duit kertas tanpa emas..tak lama lagi akan down.. 
7. Layak kena zakat.
Dapat pahala. 85gram/20 dinar simpan baru wajib zakat. Zakat 2.125g /setengah dinar.
Khilaf ulamak. Ada kata kena, ada kata tak. (rujuk kitab risalah imam shafie). petikannya; tidak harus dikiaskan emas dan perak dengan duit ringgit (wang kertas) pada wajib zakat. 3 mazhab lain wajib zakat. Mazhab Shafie tak wajib..anda nak bayar juga, suka hati koranglah. 
8. Keunikan yang ada pada umat islam tapi tidak digunakan.
Alat barat untuk mengambil kekayaan orang Islam seperti minyak, senjata, teknologi dan sebagainya.
9. Peningkatan purata 11% setahun tanpa susutnilai.
Rujukhttp://www.kitco.com/
Wang ringgit susut nilai setahun 37% . bonus ASB baru 7% setahun..rugi 30%, tapi kita tak nampak..kita nampak kertas aku makin banyak. 
10. Tiada siapa boleh main harga kerana ia memang berharga.
Wang kertas adalah alat paling bahaya kerana penyangak matawang sentiasa ada. Tak takutkah anda jika 100 000 anda di bank dibuang 3 kosong di belakang menjadikan duit anda jadi 100 je..tak mustahil kerana kertas semata-mata, ia hanya diperhargakan..
sumber: dinar kedah

Tukarkan Duit dengan Emas

 

DUIT vs EMAS

Cuba kita fikirkan dari tahun ke tahun harga emas kian meningkat dan secara tidak langsung kita mengelakan inflasi .Jika kita simpan fiat money didalam bank nilainya makin merosot sebab kenaikan harga barang walaupun kita mendapat dividen setiap tahun berbanding dengan simpanan emas ianya menjamin NILAI

SYILING EMAS UNTUK di JUAL

SYILING EMAS 999.9  
Gold = 24K or 99.9% Gold
Harga  Hari Ini= RM1,520.00 SAHAJA (08/03/2011)

Friday, 4 March 2011

Bakal berlaku tekanan inflasi - Utusan Malaysia

PETALING JAYA 4 Mac - Pelaburan Malaysia di Asia Barat tidak terjejas meskipun berlaku beberapa kemelut politik di beberapa buah negara itu baru-baru ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed berkata, bagaimanapun apa yang nyata berlaku adalah kesan kenaikan harga petroleum akibat ketidaktentuan di negara-negara terbabit.
Selain itu, beliau berkata, tekanan inflasi juga mungkin berlaku dalam jangka sederhana.
"Implikasi lain adalah harga makanan akan meningkat mendadak di seluruh dunia. Itu tekanan yang kita juga rasa di negara ini.
"Dari aspek pelaburan, Malaysia mempunyai harapan yang tinggi dan buat masa ini, pelaburan Malaysia masih stabil,'' katanya selepas melawat kilang baru dan ibu pejabat JF Technology Bhd. (JF Technology) di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Urusan JF Technology, Foong Wei Kuong.
JF Technology dikorporatkan pada tahun 1999 dan menghasilkan lebih 1,000 jenis pin dan ujian penyiasatan untuk pengendali ujian pengeluar alatan tulen (OEM).
Kos pembinaan kilang dan ibu pejabat baru JF Technology ialah kira-kira RM23 juta.
Melalui ibu pejabat baru itu, JF Technology akan bertukar peranan daripada pengeluar ujian peralatan tulen (OEM) kepada pengeluar cip alatan tulen (ODM).
Wei Kuong pula berkata, beliau mahu JF Technology diiktiraf dan dikenali sebagai pemain industri bertaraf dunia dan bukan pemain di rantau ini semata-mata.
Katanya, melalui kemudahan yang baru di ibu pejabat di sini, pasukan kajian dan penyelidikan akan membangunkan ciptaan baru bagi keperluan pembungkusan alat-alat baru termasuk saiz-saiz pad kecil, pin-pin spring dan lain-lain lagi.
"Kami melihat tahun ini sebagai tahun yang menampilkan keterujaan dan operasi yang lancar untuk kumpulan.
"JF Technology dalam kedudukan yang betul untuk menghadapi fasa seterusnya melalui inovasi teknologi dan kecemerlangan perniagaan,'' ujarnya.

Apakah langkah kita untuk menghadapi situasi ini....anda tentukan....

Wednesday, 2 March 2011

Harga emas dan perak terus memecut.

Assalamualikum...

Hampir sebulan blog saya tidak di kemas kini lantaran urusan kerja di luar negara. Kejutan harga emas dan perak  membuatkan saya begitu teruja. Ayuh rakan2 sekelian kita memborong emas dan perak untuk melindungi wang kertas  kita dari susut nilai dan secara tak langsung kita membuat pelaburan jangka panjang.
Lihatlah apa yang berlaku diluar negara sekirannya huru hara dan rusuhan  dan krisis ekonomi berlaku nilai matawang akan jatuh dannegara kita tak kan terlepas dari risiko ini. Jadi sebaikanya persediaan kkita harus mempelbagai harta simpanan kita.

Buat pembaca yang berkata harga emas dan perak makin mahal percayalah hari ini masih murah berbanding 2 tahun dari sekarang...fikirkan lah...mari kita mulakan dengan 10 g simpan emas fizikal.

Saturday, 29 January 2011

RIBA DALAM WANG KERTAS

RIBA DALAM WANG KERTAS
by AURA AURUM

Sistem ekonomi sekarang yang tidak seimbang ini tidak tergugat kerana telah berjaya mengalih...kan tumpuan dari pekara – pekara berkaitan ekonomi kepada politik.Sistem ekonomi yang berat sebelah ini tidak dihiraukan kerana seluruh tenaga difokuskan kepada pekara – pekara politik. Oleh itu pekara – pekara ekonomi tidak dipersoalkan dan terus berjalan seperti biasa.Sedangkan asas atau punca kepada sistem yang kita panggil kapitalis adalah riba. Riba itu sendiri adalah tidak seimbang. Riba yang bersistemetik melalui Bank telah menukar perjanjian perompakan sebagai dominasi ekonomi. Selagi kita menjadi hamba kepada riba selagi itulah Negara umat Islam akan menjadi hamba.
Oleh itu memahami riba sangat penting dalam memahami Kapitalisme. Pemahaman Islam tentang riba akan mengujudkan kembali  cara mu’amalat kita dan mencari pendekatan mengatasi sistem semasa. Riba bukan sahaja negatif tetapi ia membuka jalan yang positif kepada pekara yang halal. Apabila kita masih lagi keliru dengan halal dan haram amat mudahlah untuk musuh kita memusnahkan kita. kini kita berhasrat untuk memahami apa itu riba.
Firman Allah yang bermaksud :"Allah telah menghalalkan Perdagangan dan mengharamkan Riba" (Quran 2:275)Riba  adalah bertentangan dengan jual-beli (Perniagaan atau Perdagagan), ia merosakkan jual-beli. Tidak ada perniagaan dengan riba atau riba dengan perniagaan. Tetapi riba adalah asas kepada wajah kufur hari ini iaitu kapitalisme. Dengan sebab ini Riba menjadi isu politik yang paling penting yang dihadapi oleh umat Islam. Riba memberi kesan kepada setiap aspek dari kehidupan kita dan ini dapat dijejaki kepada dua institusi iaitu Bank dan Negara. Walaupun sangat penting tetapi tidak diketahui secara betul oleh majoriti umat Islam.
 Kebanyakan orang mengenali riba hanya sebagai bunga ( interest ). Sedangkan realitinya riba adalah lebih kompleks. Silap faham ini bukan sahaja kerana silap kiraan tetapi hasil dari pembelajaran dan doktrin palsu yang membawa kepada kejatuhan kuasa politik ummah yakni Khilafah Islamiah dan proses Islamisasi atas pembaharuan yang datang berikutnya. Silap faham ini telah membuka pintu “ Islamisasi “ kepada institusi terpenting Kapitalisme iaitu Bank. Apa itu pasar terbuka untuk perniagaan menjadikan Bank itu untuk riba.
Riba yang diislahkan membuka jalan kepada promoter – promoter Bank Islam menhalalkan tindakan mereka.Sebab itu cukup penting untuk kita memahami masalah fiqah yang sebenar supaya dapat dibezakan yang mana halal dan yang mana haram. Ini sangat penting bagi mengatasi kapitalisme dan kuasa illusinya. Pengenalan yang ringkas ini moga – moga dapat memberi gambaran isu riba dalam shariat Islam dan membuka pekong keraguan yang cipta oleh ulamak moden.
Riba dari segi bahasa bermaksud “ lebihan ”dalam bahasa Arab. Qadi Abu Bakr ibn al-Arabi, didalam Tafsir “Ahkamul Qur’an” mendefinasikan riba sebagai: setiap lebihan antara nilai barang yang diberi dan nilai yang diterima. Lebihan ini merujuk kepada dua pekara :
1] setiap lebihan, manfaat hasil dari penambahan yang tidak ketentuan dalam timbangan dan ukuran.2] setiap lebihan, manfaat dari ketidaktentuan yang datang dari penangguhan. Dua aspek ini membawa ulamak kita mengkategorikan riba kepada dua jenis.
 Ibn Rushd berkata:“Fuqahak bersependapat bahawa riba didalam jual beli ( perniagaan ) ada dua jenis : penangguhan ( nasi’ah ) dan lebihan yang ditetapkan (tafadul)”
Dengan maksud, ada dua jenis riba:1] Riba al-Fadl (lebihan dalam penambahan )2] Riba al-Nasiah (lebihan melalui penangguhan)Riba al-fadl merujuk kepada kuantiti/bilangan. Riba al-nasiah merujuk kepada masa yakni penangguhan.Riba al-fadl sangat mudah untuk difahami. Dalam pinjaman, riba al-fadl adalah interest/bunga yang dikenakan sebagai lebihan atas pokok. Tetapi secara umumnya ia bermaksud satu pihak meminta penambahan dari nilai yang diberi.Satu pihak memberi sesuatu dengan nilai 100 bagi pertukaran sesuatu yang bernilai 110.Ini termasuk juga yang dilarang apabila dua transaksi jual-beli (aqad) dihubungi dengan satu transaksi (aqad) – dikenali sebagai dua jual-beli dalam satu, dimana satu pihak dikehendaki menjual sesuatu pada satu harga dan menjual semula dengan tempoh tertentu dengan harga yang lebih rendah kepada penjual yang mula tadi. Sebenarnya, ini adalah dalih bagi mendapatkan pinjaman dengan bunga/interest atas nama jual beli. Tidak ada sesiapa pun yang perlukan alasan atau dalih untuk mendapatkan pinjaman terus dari Bank hari ini tetapi Perbankan Islam telah kembali kepada muslihat ini bagi memperdayakan pelanggan mereka dengan menyelewengkan makna “ murabaha “.Memahami Riba al-nasiah adalah lebih halus dan teliti. Lebihan pada masa  secara tidak adil yang ditambah dalam transaksi adalah penangguhan yang tidak adil. Ini merujuk kepada pemilikan ( ‘ayn) dan bukan pemilikan (dayn) sebagai alat pembayaran ( emas, perak dan makanan yang digunakan sebagai wang ). ‘Ayn ialah barang yang nyata dan selalu dirujuk sebagai tunai ( fizikal ). Dayn adalah nota janji untuk membayar atau suatu hutang atau apa barang dimana penghantaran atau pembayaran ditangguh. Menukar (safr ) dayn dengan ‘ayn samalah seperti  Riba al-nasiah. Menukar dayn dengan dayn juga dilarang. Didalam penukaran hanya ‘ayn dengan ’ayn diizinkan.Banyak hadis yang menyokong isu ini.
Riwayat Imam Malik dalam Muwatta’:
Yahya meriwayatkan padaku dari Malik bahwa ia mendengar bahwa al-Qasim ibn Muhammad berkata, "'Umar ibn al-Khattab berkata, `Dinar untuk dinar dan dirham untuk dirham dan sa' untuk sa'. Suatu yang akan diambil kemudian tidak boleh dijual dengan sesuatu yang ada di tangan.'"
Yahya meriwayatkan padaku dari Malik bahwa Abu'z-Zinad mendengar Sa'id al-Musayyab berkata, "Riba terdapat hanya dalam emas dan perak atau apapun yang ditimbang dan diukur oleh makanan dan minuman." Seorang ulama bermazhab Hanafi Abu Bakr al-Kasani (w. 587H) menulis :“Bagi riba al-nasa’ ialah perbezaan (tambahan) antara tamatnya penangguhan dengan tempoh penangguhan dan perbezaan (tambahan) antara pemilikan (‘ayn) dan tanpa pemilikan didalam barang yang diukur dan ditimbang samada didalam barang yang tidak sejenis atau barang yang sejenis. Mengikut Imam Shafi’i ini merujuk terutamanya kepada perbezaan pada tamatnya penangguhan dan tempoh penangguhan didalam makanan dan logam yang berharga ( dengan nilai wang ).”'
Riba al-nasiah merujuk terutamanya kepada penggunaan dayn dalam petukaran (sarf) barang yang sama jenis. Tetapi larangan ini dilanjutkan dalam jul-beli secara am dimana dayn sebagai matawang sudah melewati batasan kontrak peribadi kepada alat pertukaran (sebagai wang ) yang menggantikan ‘ayn. Imam Malik, r.a.,menunjukan pekara ini didalam 'Al-Muwatta':
Yahya meriwayatkan padaku dari Malik bahwa ia mendengar tanda terima/resit(sukukun) dibagikan pada penduduk pada masa Marwan ibn al-Hakam untuk barang di pasar al-Jar. Penduduk membeli dan menjual resit diantara mereka sebelum mereka mengambil barangnya. Zayd ibn Tsabit bersama seorang Sahabat Rasulullah, sallallahu alayhi wa sallam, pergi menghadap Marwan ibn al-Hakam dan berkata, "Marwan! Apakah engkau menghalalkan Riba?" Ia menjawab, "Naudzubillah! Apakah itu?" Ia berkata, "Resit-resit ini yang dipergunakan penduduk untuk berjual-beli sebelum menerima barangnya." Marwan kemudian mengirim penjaga untuk mengikuti mereka dan mengambilnya dari penduduk kemudian mengembalikannya pada pemilik asalnya.Zayd ibn Thabit khususnya menyebut riba , resit (dayn) 'dimana penduduk berjual beli sebelum menerima barang'. Emas ,perak atau makanan boleh digunakan sebagai bayaran,tetapi kamu tidak boleh menggunakan nota janji pembayaran. Didalamnya ada penangguhan sebagai tambahan yang tidak dibenarkan. Sekiranya kamu memiliki dayn, kamu haruslah mengambil barang tersebut (‘ayn) dan barulah kamu boleh bertransaksi. Dayn tidak boleh digunakan sebagai matawang.Secara umumnya, peraturannya ialah kamu tidak boleh menjual sesuatu ada disitu dengan suatu yang tiada. Amalan ini dipanggil Rama’ dan ini adalah Riba. Imam Malik menyambung :’Yahya meriwayatkan kepada saya dari Malik dari ‘Abdullah ibn Dinar dari ‘Abdullah ibn ‘Umar bahawa ‘Umar ibn al-Khattab telah berkata “ Janganlah kamu menjual  emas dengan emas kecuali dengan seimbang , janganlah kamu menambah sebahagian atas sebahagian yang lain, janganlah kamu menjual perak dengan perak kecuali dengan seimbang dan, janganlah kamu menambah sebahagian atas sebahagian yang lain danjanganlah kamu menjual sesuatu yang tidak ada dengan suatu yang ada Jika seseorang meminta kamu menunggu untuk membuat pembayaran sehingga dia kembali ke rumahnya , janganlah kamu tinggalkannya, aku bimbang rama’ atas kamu. Rama’ ialah riba.
Rama’ adalah amalan biasa dalam pasar kita sekarang ini. Matawang dayn ( wang kertas,resit) telah mengantikan matawang ‘ayn (dinar,dirham). Inilah yang dimaksud oleh Umar ibn al-Khattab apabila dia berkata saya bimbang Rama’ keatas kamu.
Jual-beli dengan penangguhan tidak terhad atas logam sahaja tetapi termasuk makanan. Kata Malik “ Rasullulah s.a.w melarang makanan dijual sebelum makanan tersebut diserah “.Oleh itu apa yang dilarang didalam riba al-nasiah ialah penambahan palsu yang tidak sepatutnya ada dalam transaksi secara fitrah . Apakah yang dimaksud dengan palsu dan fitrah disini ? Maksudnya setiap transaksi mempunyai  keadaan masa dan harga.
Pinjaman melibatkan penangguhan tetapi bukannya lebihan kuantiti. Seorang memberikan sejumlah wang , selepas jangka masa waktu tertentu wang tersebut dipulangkan tanpa sebarang tambahan. Tambahan masa adalah halal tetapi tambahan kuantiti apabila dipulangkan adalah haram . Ini adalah riba al-fadl.
Pertukaran ( as-sarf ) tidak boleh melibatkan penangguhan dan tambahan kuantiti. Apabila seorang memberi wang, yang sama diberikan tanpa penangguhan. Penangguhan tidak dibenarkan dalam pertukaran. Jika kamu mahu melambatkan pembayaran, kamu harus jadikan ia sebagai pinjaman, kamu tidak boleh menjadikanpinjaman sebagai sesuatu yang tersembunyi disebalik ‘ Pertukaran yang ditangguhkan ‘. Pertukaran yang ditangguh dipanggil riba al-nasiah.
 Sewaan melibatkan penangguhan dan penambahan dan ianya halal. Apabila kamu menyewa sebuah rumah , kamu telah memgambil rumah tersebut untuk tempoh waktu tertentu ( penambahan ) dan sebagai balasannya kamu membayar sewa ( penambahan ). Penambahan ini dalam masa dan kuantiti dibolehkan dan halal.
Tetapi kamu hanya boleh menyewakan barang yang hanya boleh disewa. Kereta, rumah atau kuda, wang atau makanan tidak boleh disewa, untuk berpura – pura wang boleh disewa akan merosakkan transaksi jual beli dan menjadikannya riba.
Setiap transaksi melibatkan keadaan yang berkaitan dengan benda itu sendiri. Kita tidak boleh mengambil syarat untuk suatu benda dan dikaitkan dengan syarat pada benda yang lain tanpa merosakkan transaksi tersebut. Dengan menambah syarat atau lebihan akan berlaku riba. Oleh kerana dayn itu sendiri adalah penangguhan , penggunaan dayn hanya dihadkan penggunaannya secara individu dan dilarang digunakan sebagai medium untuk pembayaran. Dayn adalah halal, menggunakannya sebagai matawang adalah haram. Dayn adalah kontrak persendirian antara dua individu dan akan terus menjadi kontrak dalam skop persendirian. Perpindahan dayn dari seorang ke seorang yang lain boleh dijalankan, secara Islamnya dengan menyelesaikan dayn yang pertama dan membuat dayn yang baru. Dayn tidak boleh diedarkan diluar batas kontrak individunya dan bebas merata. Pemiliknya mesti mengambil barang sebagimana yang tertera pada dayn dan melupuskan dayn tersebut. Dayn tidak boleh digunakan sebagai alat tukaran dan digunakan sebagai medium pembayaran, oleh itu dayn tidak boleh digunakan untuk membayar zakat. 
Silap faham masalah riba oleh golongan Intelektual Moden
Golongan pembaharuan Islam berusaha menyamakan riba dengan riba al-fadl sahaja dan mengabaikan riba al-nasiah. Dengan mengatakan riba hanyalah bunga/interest adalah sebahagaian daripada kekeliruan ini. Kesilapan mereka bermula dari kumpulan awal tajdid baru ini, terutamanya Rashid Reda. Rashid Reda memberi pengkelasan baru tentang riba, beliau membezakan apa yang beliau bahagikan sebagai ‘riba dalam Al Qur’an’ dan  ‘riba dalam Sunnah’. Reda mempertahahankan asas riba adalah dalam Al Quran dan diharamkan sampai bila – bila sementara teks sunnah melarang bentuk riba yang lebih ringan dan mengikut pendapatnya juga dilarang tetapi dibolehkan jika berlaku keperluan (Darurah ).
Dia mengatakan riba yang dilarang didalam Al Quran sebagai ‘ riba al jahilliyah’ ( jika seseorang tidak membayar mengikut masa yang ditetapkan , penjual akan menaikkan harga ) kesilapannya mengatakan ini riba al – nasiah. Dia juga melakukan kesalahan dengan mengatakan riba al – nasiah ( silap bertukar maksud ) hanya menjadi haram jika melibatkan denda berbunga ( compound interest ) jadi bunga/interest biasa (simple interest ) tidak termasuk riba al – nasiah dan dibolehkan. Dia membuat kesimpulan bahawa interest/bunga biasa yang dikenakan atau yang dibayar oleh Bank tidak dilarang mengikut  Al Quran dan sunnah.
Larangan dari Sunnah mengikutnya, merujuk kepada pertukaran tertentu. Seperti dua orang yang menukar emas antara satu sama lain, jumlah emas mesti seimbang dan ditukar pada masa itu juga. Pada pendapatnya, tidak seperti riba al jahiliyah , cara ini tidak diketahui orang Arab kerana sukar untuk difahami mengapa harus ada dua orang yang melakukan pertukaran yang melibatkan  kuantiti yang sama serentak pulak. Jadi riba al fadl dilihat sebagai amalan yang ditinggalkan didalam perdagagan dimana pertukaran emas yang sama dilakukan sudah tidak diamalkan lagi.
Hadis yang terkenal yang menyebut tentang “ tangan dengan tangan “ dan “seimbang “ merujuk pada riba, tidak difahami oleh golongan moden. Mereka tidak faham relevannya dan bentuk yang disebut. Emas dengan emas, seimbang dan tangan dengan tangan merujuk kepada perseimbangan dalam traksaksi.
 Satu aspek merujuk kepada keseimbangan dalam kuantiti jika berlaku ketidakseimbangan menjadi riba al-fadl dan satu lagi merujuk kepada kesegeraan (tanpa penangguhan) dan jika berlaku penangguhan dirujuk sebagai riba al – nasiah.
Ini akan menghalang keadaan dimana emas yang tidak ada  (dayn) ditukar dengan emas yang ada (ayn) . Ini sangat relevan kerana cara beginilah orang Islam ditipu dengan emas mereka dengan cara menukar dengan kertas janji palsu emas ( bentuk asal wang kertas ). Seterusnya untuk menjadikan wang kertas halal, ulamak – ulamak  modenis mengabaikan maksud dan relevannya hadis tersebut.
Hadis itu merujuk kepada pertukaran dinar dan dirham khususnya pada cetakan berlainan , ia melarang sama sekali kewujudan nota/resit sebagai janji pembayaran. Dua bentuk ini sangat relevan dan penting kepada kita :
Kesimpulannya, pandangan Syaikh Rashid Reda dari Mesir adalah seperti berikut :A] Riba al-nasiah hanyalah riba al-jahiliyya dan hanya denda berbunga/coumpand interest dilarang dengannya.
B] Riba al-fadl hanya melibatkan pertukaran, hanya peringkat kedua dan boleh diterima sekiranya berlakunya keperluan ( darurah ). Pengikut Reda pada asasnya mengambil pendekatan yang sama dalam mengklasifikasikan riba tetapi berbeza sedikit dalam isu denda berbunga/coumpand interest. Mereka bersetuju bahawa interest biasa/simple interest juga adalah haram tetapi prinsip darurah boleh diguna pakai dan mereka melihat riba al – fadl  sebagai masalah kedua melibat hanya pada perdagagan ( bukan pada mata wang ).
Sebenarnya kedua – dua riba al – nasiah dan riba al – fadl dilarang dalam Al Quran, malah riba dalam Al Quran dan Sunnah adalah sama . Sunnah adalah amalan hidup sebagai penafsiran dari  Al Quran.
Riba yang dikenali sebagai riba al Jahiliyah mengandungi kedua – duanya riba al-nasiah dan riba al-fadl. Dalam transaksi ini, pembayaran ditangguh ( nasiah ) ditukar dengan penambahan (fadl), tetapi riba al – nasiah melibatkan lebih dari hanya riba al – jahilliyah.Implikasi dari kedudukan intelektual moden. Dengan mengabaikan makna sebenar riba al nasiah , mereka mengelak daripada menyentuh tentang isu mata wang kertas. Memahami riba al-nasiah adalah asas kapada pemahaman tentang kedudukan kita keatas duit kertas. Sebab mereka mengambil sikap yang memutarbelitkan makna riba secara jelasnya ialah untuk menghalalkan suatu yang tak terfikir : Perbankan. Inilah justifikasi kepada apa yang dipanggil Perbankan Islam. Konsep darurah bersama penyingkiran riba al-nasiah memberi mereka alasan untuk membenarkan penggunaan duit kertas dan seterusnya menggunakan kaedah fractional reserve banking (Rezab  Simpanan Bank ) yang menjadi asas kepada perbankan moden hari ini.
Tambahan :
Oleh itu menyamakan wang emas dengan wang kertas kerana kedua—duanya wang adalah tidak tepat sama sekali.
Wang dalam Islam ialah berdasarkan ’ayn emas dan perak ( Nuqud Shar’ii) bukan wang yang diberi nombor atau diberi nilai.
Wang yang beredar sekarang 5% dalam bentuk tunai (kertas/note) sedangkan 95% lagi berbentuk elektronik (wang sekarang ialah satu signal elektronik dari satu komputer ke satu komputer yang lain ).
Oleh sebab itu apabila wang ini meningkat jumlahlah dipasaran berlakulah inflasi.